NARATIF MELAYU
1. Pengenalan
Naratif Melayu ini adalah penghujahan serta pernyataan tegas oleh pertubuhan masyarakat bernama Lembaga Peradaban Melayu (LPM) mengenai kebumiputeraan dan asal-usul bangsa Melayu di Alam Melayu berasaskan keilmuan dan fakta-fakta yang nyata.
Naratif Melayu ini amat perlu dituliskan dengan jelas dan disebarkan dengan meluas untuk mendidik serta meneguhkan keyakinan dan menguatkan pegangan bangsa Melayu sendiri terhadap naratif asal-usulnya. Sebarannya dapat menafikan pelbagai sanggahan oleh orang-orang lain yang kurang mengetahui akan tuntutan bangsa Melayu di tanah air dan negaranya Malaysia dan di seluruh wilayah Alam Melayu.
Naratif ini juga perlu dihurai dan dipaparkan untuk tatapan awam dalam konteks pembangunan negara Malaysia moden. Berlandaskan gagasan asasi bahawa kelompok manusia pada asalnya sentiasa membuka dan menghuni satu wilayah muka bumi yang bernama negeri dan membentuk negara bangsa maka di situ mereka melaksanakan kedaulatan, kekuasaan, kewibawaan dan pemerintahan mereka. Demikian juga mereka membina serta mengamalkan peradaban sendiri. Justeru demikian satu bangsa teras dalam negara bangsanya adalah kewujudan hakiki bagi peradaban manusia.
Demkianlah bangsa Melayu, telah membentuk wilayah kedaulatannya, di Alam Melayu, khusus di negara Malaysia, dalam tempoh sejarah yang amat panjang. Hanya bangsa Melayu dan Jawa dalam kalangan bangsa serumpunnya yang membentuk kenegaraan awal dalam sejarah, serta berkelangsungan hingga kini.
Identiti Bangsa Melayu dihuraikan serta dikenalpasti di sini supaya dapat difahami bersama. Juga sejarah dan asal usul Bangsa Melayu itu dimaklumkan supaya hak dan tuntutan sahih (legitimasi) mereka sebagai bangsa bumiputera terserap sebagai kebenaran umum.
Negara Malaysia ini adalah penamaan semula sebuah negara Melayu terdahulu bernama Tanah Melayu, Semenanjung Tanah Melayu, atau Persekutuan Tanah Melayu. Orang Inggeris yang mentadbir negara ini pada satu ketika dalam sejarah menamakannya sebagai Malaya. Namun kemudian pada 1963 pemimpin Melayu menggabungkan negara-negara Melayu: Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah untuk menubuhkan negara Malaysia. Nama yang bersejarah itu telah menjadi impian pejuang kemerdekaan negara rumpun Melayu Filipina, Jose Rizal untuk negaranya.
2. NARATIF MELAYU
Naratif Melayu Asasi mempunyai empat unsur utama:
i) Alam Melayu,
ii) Bangsa Rumpun Melayu,
iii) Peradaban Melayu,
iv) Nilai dan Norma.
i). Alam Melayu
Hakikat pertama ialah wujudnya kesatuan wilayah alam di muka bumi sebagai Alam Melayu. Sejak dari bermulanya sejarah perhubungan antara bangsa Melayu dengan bangsa lain di luar Alam Melayu kesatuan wilayah ini telah difahami oleh mereka dengan pelbagai nama; Suvarnadvipa oleh pedagang India purba, kunlun oleh China purba dan Malay Archipelago oleh Eropah moden.
Alam Melayu sebagai sebuah alam fizikal yang sangat tua, sejak 2.6 juta tahun hingga 14,000 tahun dahulu (Oppenheimer, 1999) dan telah pun dihuni bangsa awal rumpun Melayu yang berbahasa Melayo-Polinesia pada lebih kurang 45,000 tahun, mengikut kajian pakar-pakar DNA (kajian baka) antarabangsa.
Pada hari ini, Alam Melayu adalah sebuah alam kepulauan yang tersebar luas yang juga dirujuk sebagai Kepulauan Melayu, Gugusan Pulau-Pulau Melayu, dan Nusantara dan dirujuk oleh orang asing sebagai Malay World, Malay Archipelago, dan sebahagian daripadanya termasuk di dalam Negara asing di Asia Tenggara seperti Myanmar, Thailand, Kemboja, dan Vietnam. Akibah dari perjalanan sejarah penjajahan, Alam Melayu sekarang terdiri dari negara bangsa Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura, dan Timor Leste.
Sebagai kawasan gugusan kepulauan, Alam Melayu jelas wujud terasing daripada benua besar Asia dari segi fizikal dan juga budaya. Alam ini satu alam maritim, dengan laut, dan selatnya tanpa sempadan, terbentang luas menjangkau keluasan yang sama dengan negara Amerika Syarikat dan China.
ii) Bangsa Rumpun Melayu
Terdapat teori dua-lapis terhadap asal usul manusia di rantau Alam Melayu: i. Stephen Oppenheimer dengan teori genetik. ii. Peter Bellwood dengan teori migrasi.
i. Menurut Oppenheimer, yang menggunakan penelitian DNA serta menganggarkan pendudukan asal Alam Melayu semenjak bermulanya kemunculan manusia ‘moden’ homo sapien Java Man berlaku kira-kira 2.0 juta tahun dahulu. Manusia moden terkini muncul di sini pada 65,000 tahun dahulu dari gerombolan-gerombolan mereka sampai ke sini sejak keluar dari Benua Afrika, tempat asal kemunculan manusia, dan mewarisi kelompok asli Senoi dan negrito. Sementara golongan proto-Melayu mewariskan golongan bangsa Melayu berasal dari kalangan kepulauan Alam Melayu dan membina penempatan kekal dan akhirnya negara danempayar. (The Peopling and Migration History of the Natives in Peninsular Malaysia and Borneo: A Glimpse on the Studies Over the Past 100 years. Boon-Peng Hoh, Lian Deng and Shuhua X, Front. Genet., 27 January 2022)
ii. Peter Bellwood mengetengahkan teori migrasi dari China dan Taiwan sebagai asal usul Malayo-Polinesia, khusus Melayu. Dalam teori penghijrahan ini Bangsa Melayu itu adalah satu bangsa pribumi yang amat tua yang menghuni kawasan-kawasan muka bumi yang sekarang merupakan selatan China. Negara China tidak bernama China sebelum emperor China, Qin Shi Huang dari utara menyatukan wilayah selatan sebagai takluknya pada 221 BC dan menjadikannya China. Wilayah selatan yang disebut dalam sejarah China sebagai ‘warring states’ adalah dihuni oleh golongan Melayo-Polinesia (Austronesia) sebagai penduduk asli di wilayah itu. Justeru, apa yang dinamakan selatan China kini adalah pada zaman purba, sebelum abad 221 BC, merupakan wilayah rumpun Melayu (Austronesia). Mereka telah merantau ke luar, ke Taiwan dan kemudian ke wilayah-wilayah selatan di Alam Melayu. Bangsa ini semulajadi memperlihatkan kegemaran merantau (Melayu), berjalai (Iban) dan berdagang (Melayu). Dari Alam Melayu mereka berlayar ke timur, ke lautan Pasifik hingga ke Hawaii di utara dan Pulau Easter di selatan; dan ke barat hingga ke Pulau Malagaskar (Afrika). Hingga kini pun kalangan bangsa ini masih lagi ‘merantau’, ‘berjalai’ atau ‘berdagang’ ke tempat-tempat lain.
Sezaman dengan perantauan bangsa Melayu dalam kalangan ‘Melayu Asli’ (Melayu proto), itu berlaku juga pergerakan kelompok-kelompok Orang Asli (Semang, Senoi) yang kelihatan lebih ‘nomadis’ yakni tidak menetap lama dan tidak membina negara pada sesuatu penempatan. Mereka bergerak ke kawasan lain di selatan hingga ke Australia. Sehingga kini kelompok Orang Asli masih lagi nomadis, berkampung kecil-kecilan dan tidak membina kewibawaan ke atas wilayah kecuali keperluan kawasan hutan untuk perburuan dan perpindahan penempatan.
Bangsa Melayu sebagai golongan Malayo-Polinesia menghuni kepulauan Alam Melayu dalam rangka sekitar 6 ribu tahun. Wilayah yang terbentang sangat luas, terdiri dari ribuan pulau yang tersebar jauh, menyebabkan bangsa Melayu terselerak luas dan berjauhan pada ribuan kepulauan itu. Keselerakan itu mengakibatkan pengasingan antara satu kelompok dengan yan lain, dan munculnya ratusan suku bangsa di pelbagai lokasi. Setiap mereka membina pelbagai bahasa dan dialek, dan budaya sesuai dengan tuntutan alam sekitar masing-masing untuk survival. Namun kesamaan pada struktur bahasa dan budaya itu masih kekal seperti terakam pada kosakata, fonologi dan sintaksis bahasa mereka yang kini membentuk rumpun Malayo-Polinesia. Hal itu telah disahkan oleh ramai pakar dan pengkaji linguistik antarabangsa sebagai petanda kepada kesamaan asal-usul daripada satu nenek moyang yang sama.
Orang Melayu memahami fenomena kebersamaan asal-usul ini sebagai keserumpunan, yakni satu rumpun bangsa, bahasa, dan budaya. Atas hakikat ini, maka anggota kelompok Bangsa Melayu itu wajar disebut dan dikenali sebagai Bangsa Rumpun Melayu, selaras dengan sifat dan bentuk asasi suatu ‘rumpun’ yang diucapkan dalam perbilangan Melayu, serumpun bak serai.
Dalam pengertian ini, Rumpun Bangsa Melayu terjadi dari komponen-komponen bangsa Jawa, bangsa Bugis, bangsa Kadazan dan bangsa Iban, dan lain-lain sebagai pembezaan dalaman bagi sebuah kelompok bangsa yang amat besar. Dalam kata lain, setiap bangsa itu adalah suku bangsa, dalam satu keluarga besar Rumpun Melayu.
Maka Bangsa Serumpun yang hidup dalam sekitaran kepulauan ini adalah bangsa yang terbuka dan bebas corak hidup dan budaya mereka dan mudah menerima pelbagai pengaruh dari luar dengan menyesuaikannya dengan keperluan mereka. Dalam alam kepulauan dan laut ini bangsa Melayu menanggapi alam mereka sebagai ‘Tanah Air’.
Hidup sebagai Bangsa Serumpun dan bebas berkelana dalam alam laut yang luas, dengan selat yang menyambung, bukan memisah, maka tertanam dalam jiwa mereka suatu sifat semula jadi untuk bebas. Mereka melihat betapa alam luas tanpa tanda sempadan itu tidak membataskan mereka maka tidak perlu menceroboh atau mempertikai bumi orang lain. Namun mereka memperluas alam penempatan untuk dihuni sebagai empayar.
Empayar Melayu telah wujud dalam kalangan rumpun sebangsa dan sama akar bahasa di Alam Melayu dari Champa (Vietnam) ke Luzong (Filipina) hingga ke Nusa Tenggara. Kelompok Melayu di utara (Sriwijaya Sumatera) muncul dan bersaing dengan kelompok Jawa di selatan (Majapahit Jawa) dan Melaka untuk menyatukan bangsa pada tahap-tahap berlainan di zaman lampau. Akhirnya mereka bertembung dengan golongan dunia Barat yang sentiasa ganas menakluk dan berperang di sepanjang zaman. Rumpun Melayu alah dan terjajah lalu terpecah, namun akhirnya bangkit membina kebebasan dan kemerdekaan dalam gugusan kepulauan pelbagai negara bangsa kini.
iii) Peradaban Melayu,
Interaksi manusia Rumpun Bangsa Melayu dan alam kepulauan yang didiami dan dihuni telah membentuk pelbagai tanggapan alam (world view), lembaga sosio-budaya, perundangan serta adat-istiadat, pelbagai artifak kebendaan serta teknologi selaras keperluan mengembling sumber alam demi kelansungan hidup. Himpunan dari segala hasil dayacipta ketara dan tak ketara itu membentuk pelbagai tahap peradaban dan tamadun mereka dalam lingkungan alam kepulauan dan daratan yang dihuni. Justeru demikian kita dapat memahami peradaban Rumpun Melayu itu berlandaskan tiga fenomena yang saling berkaitan sebagai lingkungan dan corak kehidupan mereka pada setiap masa:
a. tanggapan alam semesta
b. lembaga adat dan budaya
c. artifak kebendaan dan teknologi
a. Pandangan Alam
Pada asasnya manusia Melayu menanggapi bahawa alam dan manusia adalah ciptaan suatu kuasa tertinggi bernama Tuhan. Manusia itu terdiri dari dua unsur utama: jasmani dan rohani, tubuh dan roh, badan dan semangat. Setiap sesuatu dalam alam mempunyai dua unsur ini. Kedua-dua bahagian ini bergaul dengan pelbagai alam fizikal dan spiritual untuk membentuk pelbagai anasir sosio-budaya. Demikianlah pada keseluruhannya mereka memahami wujud empat alam yang saling berkait: alam fizikal bumi (dan langit) tempat berpijak (wujud), alam jasmani tubuh-badan, corak kehidupan atau adat (sosiobudaya) dan alam rohani.
Penerimaan mereka terhadap Islam sejak satu alaf dahulu telah memperkaya pandangan alam itu menjadi suatu kosmologi serta kosmogoni lengkap. Mereka yakin bahawa semua manusia dihidupkan untuk menyembah hanya Allah dan tiada tuhan selain itu. Selama hidup di dunia mereka mesti berbuat baik dan akan mendapat ganjaran pahala, tidak boleh berbuat jahat yang akan mendatangkan ganjaran dosa. Semua ganjaran itu akan tercatat di dalam buku amalan yang akan dibentangkan di hadapan tuhan apakala dibangkitkan semula di padang mahsyar.
Setiap manusia akan mati dan roh mereka wujud di alam barzah menunggu hari kiamat. Seluruh alam fizikal ini juga akan berakhir pada hari kiamat. Selepas kiamat itu alam akan tercipta semula oleh tuhan Allah dan manusia akan dibangkitkan semula dari alam barzah untuk diadili akan catatan amalannya ketika hidup di dunia. Catatan yang baik akan diterima pada tangan kanan dan yang buruk pada tangan kiri. Pengadilan tuhan Allah di padang mahsyar akan menentukan kewujudannya selanjutnya sama ada menerima balasan pahala dan hidup abadi di syurga atau balasan dosa mereka di neraka.
Di samping fahaman kehidupan di atas, alam juga dihuni oleh pelbagai kewujudan ghaib yang halus, tidak berbadan (impersonal) yang juga berkuasa untuk memperangaruhi manusia. Kewujudan lain-lain itu dikenali sebagai malaikat, roh, ‘syaitan’, ‘hantu’, ‘mambang’, ‘lansuyur’ dan ‘polong’. Semua entiti itu adalah ciptaan Allah dan wujud dalam satu perlapisan tinggi-rendah bermula pada puncaknya yang paling berkuasa, yakni Tuhan (Allah), malaikat dan seterusnya. Semua itu adalah berinteraksi dengan manusia dalam alam dunia untuk melahirkan pelbagai institusi adat dan budaya.
Interaksi erat dengan pelbagai alam ini membentuk sikap, nilai, pandangan serta kepercayaan terhadap wujud manusia dalam alamnya. Pengertian itu diucapkan dan dinyatakan secara tradisi di dalam pelbagai peribahasa atau ikatan kata-kata yang terkenal sebagai perbilangan, pepatah, petitih, perumpamaan serta puisi-puisi pantun, syair, gurindam dan seloka; dan juga karya-karya agung yang menjelaskan intelektualisme itu.
Pelbagai kaedah dan upacara budaya dicipta untuk membina hubungan baik dan mesra dengan pebagai makhluk ini, yang boleh berubah menjadi hubungan genting jika berlaku salah-laku terhadap mereka. Maka ada tokoh dan ahli dalam masyarakat yang dapat mengendalikan hubungan itu menjadi baik bernama ‘lebai’, ‘pawang’, ‘bomoh’ dan ‘dukun’ melalui pelbagai sembahyang (sembah sanghyang), upacara dan rumusan ucapan bernama doa, jampi dan serapah. Segala ini adalah bahagian dari sistem sosio-budaya Melayu.
b. Lembaga Sosio-budaya
Kewujudan masyarakat dan budaya itu merupakan kaitan satu asasi bagi keberadaan manusia dan dirumuskan di dalam kefahaman perbilangan: hidup dikandung adat, mati di kandung tanah. Adat sebagai sistem sosio-buadya dan tanah sebagai alam fizikal. Kedua-dua konteks atau lingkungan itu adalah asasi bagi kewujudan manusia.
Pada umumnya sistem sosiobudaya Melayu terdiri dari sistem kemasyarakatan yang bersusun-lapis tinggi-rendah dan nilai-nilai yang terbentuk oleh pengalaman interaksi dengan pelbagai kejadian alam semesta dan sejarah yang panjang. Perlapisan masyarakat itu membentuk sistem kewibawaan social yang menetapkan nilai atau penghargaan yang tinggi dan yang rendah, serta batasan norma yang betul atau salah dalam kalangan mereka. Seluruh corak hidup itu dilembagakan dalam pelbagai institusi politik (misalnya, kerajaan) ekonomi (misalnya gotong royong), sosial (misalnya kekeluargaan), budaya (misalnya pelbagai kesenian) dan kepercayaan (misalnya pelbagai makhluk halus). Teras kepada sistem sosio-budaya itu ialah sistem nilai dan norma mereka.
c. Artifak Kebendaan dan Teknologi
Himpunan kebendaan dan artifak serta teknologi memaparkan tahap kemajuan kebudayaan. Justeru itu bidang ini sentiasa berubah dan menambah mengikut perkembangan masa. Hingga kini artifak Melayu sudah mencapai tahap perkembangan ilmu semaa terutama dalam teknologi bagi memenuhi keperluan kehidupan di zaman kini. Namun yang paling asasi dalam hal ini ialah perkembangan pendidikan yang selaras dan sesuai dengan tuntutan masa dan zaman. Maka masyarakat akan turut berkembang bersama artifak dan teknologinya.
iv. Nilai dan Norma Teras Perilaku
Nilai dapat ditanggapi sebagai sesuatu gagasan, idea atau konsep yang diingini dan diucapkan oleh anggota masyarakat secara lisan ketika berhadapan dengan suatu keadaan. Berkait rapat dengan nilai ialah norma sebagai gagasan yang menjadi peraturan serta batas-batas perilaku anggota masyarakat. Kategori nilai biasanya merupakan yang ‘teras’ dan norma sebagai sampingan, yang menambah pemerian kepada nilai teras. Teras nilai Melayu adalah seperti berikut:
- Nilai budi (dan balas budi) dalam pembawaan umum (bahasa, bicara, pekerti, daya dan akal)
- Hormat dan kasar dalam perlapisan
- Adab dan biadab dalam konteks upacara
- Alim dan wara’ – jahil dalam keagamaan
- Halus dan kasar pada bahasa dan perilaku
- Rajin dan malas dalam pekerjaan
- Gagah dan berani - penakut dalam hubungan krisis
- Cantik dan buruk pada sosok diri
- Murah hati dan kedekut pada pemilikan
Seluruh himpunan nilai dan norma itu adalah saling berkait selaras dengan jatidiri masyarakat yang terbentuk oleh nilai teras dan umumnya. Bagi masyarakat dan kebudayaan Melayu nilai budi itu terdiri merupakan asas kompleks nilai dan pelbagai terbitannya dalam perilaku harian dan tertentu. Nilai budi dapat dikatakan sebagai asas perilaku bangsa Melayu dan ternyata pada pelbagai perlakuan mereka. Dalam kehidupan harian nilai ini memainkan peranan utama sebagai penentu, pengatur dan penyaring kepada perilaku yang wajar, betul dan benar. Dengan demikian nilai teras budi ini terbit dalam bentuk pengucapan seperti budi bahasa, budi pekerti, budi bicara dan akal budi. Setiap satu komponen itu mengukur perilaku yang amat wajar, digalakkan dan disanjung.
Barangkali nilai budi ini harus dapat diperkembangkan ke dalam seluruh masyarakat sebagai asas perilaku dan pembinaan peribadi kebangsaan yang menandakan sifat dan sikap jatidiri warga Negara Malaysia seluruhnya.
3. KENEGARAAN DAN KESATUAN NASIONAL
Kelompok-kelompok bangsa-bangsa lain, dari luar Alam Melayu telah sampai ke Tanah Melayu dan ke Malaysia di zaman silam, sebagai pedagang umumnya, diikuti kemudian oleh mereka yang datang ke sini untuk mencari rezeki di bumi Alam Melayu. Bangsa-bangsa asing ini asalnya datang untuk sementara, tidak terus menetap di sini. Namun, sejumlah pedagang-pedagang dari tanah China telah menetap di Melaka di abad ke- 15, dan mereka mengiktiraf Melaka, dan Semenanjung Tanah Melayu sebagai negeri orang Melayu. Mereka berasimilasi ke dalam masyarakat Melayu dengan mengadaptasi Bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu secara harian dalam isi rumah mereka dan membina identiti baru bernama ‘Baba’ dan ‘Cheti’.
Ketika kekuasaan Melayu runtuh oleh penjajahan dari abad 16, dan terutama pada awal abad ke-19, telah ramai kelompok-kelompok dari negara China dan India datang ke sini untuk lari daripada peperangan, kemiskinan di bumi mereka dan untuk mencari rezeki, dan juga sebagai buruh paksa untuk menggerakkan ekonomi perlombongan dan perladangan kolonial di Tanah Melayu. Di bawah naungan serta perlindungan kuasa kolonial British mereka membina kehidupan baru di Tanah Melayu, sebagai pelombong bijih timah dan pekerja ladang-ladang getah. Dalam konteks perlindungan British itu, mereka terus menetap di kawasan-kawasan lombong, estet dan perbandaran yang dimulakan oleh pentadbiran British. Namun mereka menjadi kelompok terasing serta tersendiri yang kekal hidup dengan sistem budaya sendiri, tanpa integrasi dengan budaya bumiputera seperti di zaman kerajaan Melaka pada abad 15. Justeru demikian terbentuklah apa yang kini dinamakan ‘masyarakat majmuk’ (plural society), sebuah konsep kolonial, di Tanah Melayu dan Malaysia. Konsep dan amalannya menjadi warisan masalah sosio-politik di Malaysia hingga kini. Pemerintah Malaysia terpaksa terus bergelut dengan masalah perpaduan nasional kerana gagasan ‘plural’ adalah memecah-belahkan kesatuan bangsa Malaysia ke dalam pelbagai kelompok etnik.
Perpaduan bangsa hanya dapat dicapai apakala konsep majmuk diketepikan dan digantikan dengan amalan ‘kepelbagaian’ dalam rangka dan lingkungan naratif Melayu sebagai rujukan semua warganegara dan menyesuaikan diri dengan normanya. Pada tahap nasional naratif Melayu mesti berwibawa membentuk jaringan warganegara sebagai rakyat Malaysia. Budaya mereka yang mendatang itu hanya wajar diamalkan dalam konteks kekeluargaan dan komuniti mereka sahaja, sebagai warisan identiti kelompok kecil keturunan pendatang. Budaya asing tidak boleh disama-tarakan dengan warisan naratif Melayu-bumiputera yang merupakan naratif pribumi yang menjadi landasan wujudnya identiti nasional Malaysia. Identity asing – alien – tidak boleh menjadi identiti nasional Malaysia, yang akan menjadikan Malaysia sebagai negara dan bumi asing. Pelbagai elemen budaya asing yang disesuaikan dapat diterima sebagai proses petukaran budaya semulajadi – cultural exchanges - dalam kalangan semua masyarakat manusia. Maka gagasan ‘majmuk’ atau ‘plural’ tidak wajar digunakan apalagi diamalkan. Bentuk masyarakat dan bangsa adalah ‘kepelbagaian’ – diversity – dalam rangka seluruh perundangan Perlembagaan dan kenegaraan Melayu dan Bumiputera Malaysia. Setiap orang yang diterima masuk sebagai warganegara berlandaskan perundangan dan perlembagaan negara adalah hadir dalam lingkungan sosiopolitik dan budaya pribumi negara itu. Justeru naratif Melayu adalah rujukan pembudayaan dan kewargaan di Malaysia.
ZK
Jan 2023